RM1.5 Bilion Bayaran Interim Dialu-alukan, Hak 40 Peratus Sabah Tetap Diteruskan –...

RM1.5 Bilion Bayaran Interim Dialu-alukan, Hak 40 Peratus Sabah Tetap Diteruskan – Maijol

0
SHARE

KOTA MARUDU: Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap ADUN Bandau, Datuk Dr Maijol Mahap mengalu-alukan pengumuman bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah di bawah rundingan Geran Khas 40 peratus.

Beliau menyifatkan pembayaran itu sebagai “angpow Kaamatan” yang besar daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas bayaran interim RM1.5 bilion ini. Kerajaan Sabah akan menggunakan dana ini sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook.

Menurutnya, walaupun Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 memutuskan bahawa bayaran interim tersebut adalah tidak sah dari sudut undang-undang (unlawful and ultra vires), rakyat Sabah tetap menghargai usaha Kerajaan Persekutuan meningkatkan jumlah bayaran kepada negeri itu.

“Hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim antara semua Perdana Menteri yang berani membuat pembayaran sebesar ini kepada Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah tetap berpendirian bahawa RM1.5 bilion itu hanyalah bayaran interim dan tidak menggantikan hak Sabah terhadap bayaran 40 peratus seperti diperuntukkan di bawah Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Negeri Sabah akan terus mengambil langkah proaktif untuk menuntut bayaran penuh termasuk tuntutan “lost years” dari 1974 hingga 2021.

Beliau turut berkata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, konsisten dalam mempertahankan pendirian kerajaan negeri berhubung hak Sabah dalam rundingan bersama Kerajaan Persekutuan.

“Perjuangan hak Sabah mesti diteruskan sehingga satu penyelesaian yang adil dan bermaruah dicapai,” katanya.