Pembuatan Bom Ikan Tumpas, Dua Warga Asing Ditahan di Pulau Bum Bum

Pembuatan Bom Ikan Tumpas, Dua Warga Asing Ditahan di Pulau Bum Bum

0
SHARE

SEMPORNA: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pembuatan bom ikan di Pulau Bum Bum selepas menahan dua warga asing dan merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan berkenaan dalam satu operasi khas, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt. Tan Hiap Wah, berkata, serbuan dan pemeriksaan dijalankan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan Balai Polis Pulau Bum Bum di dua buah rumah tidak bernombor di Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum.

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan hasil maklumat dan risikan berkaitan aktiviti pembuatan bom ikan yang dipercayai berlaku di kawasan berkenaan.

Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis tersebut, polis menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk membuat bom ikan sebelum menahan dua suspek warga asing terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 25 dan 24 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penghasilan bahan letupan bagi tujuan pengeboman ikan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, kedua-dua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit sah untuk tinggal di Malaysia.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengeboman ikan kerana aktiviti ini bukan sahaja membahayakan nyawa manusia, malah merosakkan ekosistem marin serta mengancam keselamatan negara,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi tersebut.

Sehubungan itu, Tan menyeru masyarakat supaya terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengeboman ikan kepada balai polis berhampiran bagi memastikan aktiviti menyalahi undang-undang itu dapat dibanteras sepenuhnya.