Shahelmey Gesa Penduduk Putatan Sertai Program Saringan Kesihatan

Shahelmey Gesa Penduduk Putatan Sertai Program Saringan Kesihatan

0
SHARE

PUTATAN: Penduduk di Parlimen Putatan digesa memanfaatkan program kesedaran dan saringan kesihatan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penglibatan dalam program komuniti itu bukan sahaja memberi akses kepada khidmat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah meningkatkan kesedaran terhadap risiko penyakit dan penjagaan kesihatan diri.

Menurutnya, program sedemikian juga membantu mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan, khususnya bagi tujuan saringan awal.

Program seperti ini berimpak tinggi dalam membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap kesihatan serta risiko penyakit sedia ada,” katanya ketika berucap pada Program Jejak Kanser di Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah, pada Sabtu.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus mempergiat kempen kesedaran kesihatan di Putatan, khususnya dalam usaha mengurangkan risiko kanser.

“Langkah saringan awal ini penting bagi mencegah penyakit dan memastikan masyarakat lebih sihat serta cergas,” katanya.