KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempelawa lebih banyak pihak tampil sebagai rakan strategik rasmi bagi memperkukuh pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB), sebuah pendekatan baharu yang diperkenalkan bagi memperkasakan agenda kebajikan komuniti, kelestarian alam sekitar dan usaha menyelamatkan makanan daripada pembaziran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif yang mula dirintis pada Disember 2025 itu merupakan transformasi kepada Program Food Bank Malaysia dengan memberi fokus kepada tiga objektif utama iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
Beliau berkata, pelaksanaan i-FB bertujuan menyemarakkan nilai ihsan dan belas kasihan dalam masyarakat melalui penglibatan pelbagai pihak untuk membantu golongan rentan serta kumpulan sasar yang memerlukan bantuan makanan.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya dari aspek perbelanjaan makanan, malah turut menyemai kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengurangkan pembaziran makanan dan memelihara alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) @ KFC, hari ini.
Menurut Armizan, peningkatan sisa makanan yang tidak terkawal memberi kesan kepada alam sekitar serta meningkatkan kos pengurusan pelupusan sampah, justeru usaha mengawal lebihan makanan perlu diperkasakan melalui kerjasama pelbagai pihak.
Beliau berkata, inisiatif itu juga selaras dengan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan separuh kadar pembaziran makanan di peringkat industri dan pengguna menjelang tahun 2030.
Katanya, kajian oleh Food and Agriculture Organisation (FAO) menunjukkan kira-kira satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia, bersamaan 1.3 bilion tan metrik, dibazirkan setiap tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan memaklumkan bahawa QSR Brands (M) Holdings Bhd tampil sebagai rakan strategik pertama menerusi pelaksanaan projek i-FB@KFC, yang memfokuskan kepada usaha menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada komuniti yang memerlukan.
Melalui projek itu, lebihan makanan yang tidak terjual dalam tempoh ditetapkan di restoran-restoran KFC akan dikumpulkan dan diurus secara sistematik bagi memastikan ia kekal bersih, selamat serta berkualiti sebelum disumbangkan kepada penerima.
“Melalui Inisiatif i-FB, projek ini akan digerakkan secara lebih tersusun melibatkan kerjasama antara QSR Brands, KPDN, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi yang dikenal pasti bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan sasar,” katanya.
Sebagai permulaan, sebanyak 10 restoran KFC di Sabah akan terlibat dalam projek tersebut iaitu KFC Putatan, Plaza Juta, Papar, Kinarut, Benoni, Tuaran, Sepanggar, Wawasan Plaza, Emart Lintas dan Bandaran Kota Kinabalu Utara.
KPDN turut mengenal pasti 10 NGO dan institusi sebagai rakan strategik bagi menguruskan penyimpanan, pengagihan atau pemprosesan semula makanan yang disumbangkan sebelum diagihkan kepada penerima dalam tempoh tiga hari selepas pengambilan daripada restoran terlibat.
Armizan berkata, projek i-FB@KFC akan diperluaskan ke lebih banyak restoran KFC dan rakan strategik di seluruh negara bagi memastikan manfaat program itu dapat diperluaskan kepada lebih ramai rakyat.
Beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti menerusi Inisiatif i-FB dapat terus diperkukuh dalam usaha membantu golongan memerlukan, mengurangkan tekanan kos sara hidup serta menangani isu pembaziran makanan secara lebih berkesan.






