Gempa Bumi Kuat 7.9 Magnitud di Mindanao, Tsunami 0.4 Meter Dijangka Landa...

Gempa Bumi Kuat 7.9 Magnitud di Mindanao, Tsunami 0.4 Meter Dijangka Landa Pantai Timur Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao, Filipina pagi ini berpotensi menyebabkan tsunami setinggi 0.4 meter di beberapa kawasan pantai timur Sabah termasuk Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Menurut MET Malaysia, gempa bumi itu berlaku pada jam 7.37 pagi dengan kedalaman 50 kilometer, berpusat pada latitud 5.7 darjah Utara dan longitud 125.1 darjah Timur di wilayah Mindanao, Filipina.

Kejadian tersebut turut menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna.

Berdasarkan analisis yang dijalankan oleh MET Malaysia, tsunami setinggi kira-kira 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan pesisir pantai yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

MET Malaysia memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan kejadian berkenaan dan akan mengeluarkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perubahan atau perkembangan baharu.

Orang awam juga disaran mendapatkan maklumat cuaca, gempa bumi dan amaran rasmi yang sahih menerusi aplikasi myCuaca, laman sesawang rasmi serta saluran media sosial rasmi MET Malaysia.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, berkata orang ramai boleh menghubungi talian Hotline MET Malaysia di 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kejadian tersebut.