Lampu Jalan KK–Tambunan Gelap, Komuniti Penampang Desak Tindakan Segera

Lampu Jalan KK–Tambunan Gelap, Komuniti Penampang Desak Tindakan Segera

0
SHARE

PENAMPANG: Ikatan Komuniti Penampang (IKATAN Penampang) menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan segera memastikan pencahayaan mencukupi di Jalan KK–Tambunan, khususnya dari Bulatan JKR Penampang hingga ke Poliklinik Penampang.

Ahli IKATAN, John Jouting, berkata keadaan jalan yang gelap menyukarkan pemandu, terutama pada waktu malam, sekali gus menjejaskan keselamatan pengguna termasuk warga emas, pelajar, pekerja dan penduduk sekitar.

Menurutnya, risiko bertambah ketika hujan apabila permukaan jalan menjadi licin dan memantulkan cahaya, selain silau daripada kenderaan bertentangan serta ketiadaan garisan jalan yang jelas.

Ketua IKATAN Penampang, Christopher Masudal, turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya, khususnya golongan warga emas, dan menegaskan projek pembinaan jejambat Donggongon tidak boleh dijadikan alasan lampu jalan tidak berfungsi.

Beliau menuntut siasatan segera punca kegagalan lampu jalan serta garis masa pemulihan, selain mencadangkan penggunaan lampu jalan tenaga solar jika tiang sedia ada perlu dipindahkan.

Katanya, tindakan proaktif perlu diambil segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.