Lelaki Tanpa Dokumen Dipenjara Curi Elektrik di Semporna

Lelaki Tanpa Dokumen Dipenjara Curi Elektrik di Semporna

0
SHARE

TAWAU: Mahkamah Sesyen Tawau menjatuhkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki tanpa dokumen selepas mengaku bersalah mencuri elektrik melalui sambungan haram di sebuah penempatan setinggan di Semporna.

Tertuduh, Abdul Hamid Siddiq, didakwa di bawah Seksyen 61(1) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (ESE 2024). Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua, berjalan serentak.

Kesalahan di bawah Seksyen 61(1) memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, manakala Seksyen 61(8) membawa denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kes itu merupakan pendakwaan ketiga tahun ini melibatkan sambungan elektrik haram di kawasan setinggan dan yang pertama berakhir dengan hukuman penjara.

Katanya, hukuman tersebut menunjukkan mahkamah memandang serius kesalahan kecurian elektrik yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity, malah menjejaskan kestabilan bekalan serta berisiko mengakibatkan renjatan dan kebakaran.

Beliau menegaskan ECoS akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan sambungan elektrik haram.