KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput hadir bagi menyokong usaha memperkukuh bekalan darah negeri di Horizon Hotel pada 27 Jun (Sabtu), dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Program Derma Darah Tahunan hotel itu dianjurkan dengan kerjasama KPJ Sabah Specialist Hospital dan Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Pengurus Jualan dan Pemasaran hotel, Nur Idayu Bujang, berkata program itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong usaha hospital memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
“Setiap beg darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu kepada mereka yang memerlukan rawatan. Kami percaya usaha kecil setiap individu mampu memberi impak besar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata program berkenaan juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pendermaan darah secara berkala serta menggalakkan penyertaan dalam aktiviti kesukarelawanan.
“Program ini diharap dapat menyatukan komuniti daripada pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada usaha menyelamatkan nyawa,” katanya lagi.
Sebagai galakan, penderma yang layak akan menerima hadiah percuma, selain kemudahan parkir percuma disediakan sepanjang program berlangsung.






