TUARAN: Sabah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar daripada angka yang telah dikunci pada Januari 2026 melibatkan seramai 10,825 KIR, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, jumlah KIR miskin tegar yang dikunci pada Januari tahun ini telah berjaya dikurangkan 100 peratus hasil pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan yang dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Kejayaan ini menunjukkan bahawa pendekatan berasaskan data, penyelarasan bantuan melalui sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) dan eKasih serta pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan secara bersasar telah berjaya membawa perubahan yang signifikan kepada golongan sasar.
“Walau bagaimanapun, pencapaian ini bukanlah noktah kepada perjuangan kita. Kerajaan Negeri menyedari bahawa masih terdapat rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, seramai 57,710 Ketua Isi Rumah masih berada dalam kategori miskin berbanding 70,298 KIR pada Januari 2026, iaitu penurunan sebanyak 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, pada Selasa.
Selain itu, Ketua Menteri berkata jumlah keseluruhan individu yang berada dalam kategori miskin turut menunjukkan penurunan ketara.
Menurut beliau, bilangan KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang berada dalam kategori miskin telah berkurangan daripada 743,939 orang pada Januari 2026 kepada 577,110 orang pada Mei 2026.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), insiden kemiskinan mutlak Sabah telah menurun daripada 19.7 peratus pada tahun 2022 kepada 17.7 peratus pada tahun 2024.
Manakala, katanya, insiden kemiskinan tegar turut mencatat penurunan daripada 1.2 peratus pada tahun 2022 kepada 0.7 peratus pada tahun 2024, iaitu pengurangan sebanyak 0.5 peratus.
“Walaupun Sabah masih merekodkan kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar tertinggi di Malaysia, penurunan peratus insiden ini menunjukkan bahawa pelbagai dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan mula membuahkan hasil,” katanya.
Hajiji berkata kejayaan mencapai sifar miskin tegar pada tahun 2026 merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Sabah ke arah mencapai sasaran pembangunan sosial yang lebih inklusif.
“Namun demikian, cabaran sebenar yang masih perlu ditangani adalah mengurangkan insiden kemiskinan negeri yang masih tinggi berbanding negeri-negeri yang lain.
“Oleh itu, SMJ 2.0 menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengurangkan insiden kemiskinan secara berperingkat sehingga menghampiri kadar nasional menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan program pembangunan yang lebih bersasar, berimpak tinggi dan mampan,” katanya.
Justeru, Kerajaan Negeri mensasarkan insiden kemiskinan mutlak Sabah dapat dikurangkan secara berperingkat kepada sekitar tiga hingga lima peratus dan insiden miskin tegar kepada antara 0 hingga 0.1 peratus menjelang tahun 2030.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan akan terus melaksanakan Program Menoktahkan Kemiskinan dan Miskin Tegar Negeri Sabah dengan memberi tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik, pembangunan modal insan, penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pembangunan ekonomi luar bandar serta bantuan kewangan yang bersasar kepada golongan yang memerlukan.
Menurut Hajiji, pendekatan itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi, latar belakang dan status ekonomi.
Beliau berkata usaha kerajaan negeri dalam menoktahkan kemiskinan tegar berpandukan lima intervensi bantuan utama kepada golongan miskin tegar.
Intervensi pertama ialah bantuan perumahan melalui pemberian rumah percuma di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, kedua bantuan peluang pekerjaan melalui Program MySMJ Kerja dan ketiga bantuan pendidikan modal insan menerusi penyediaan 14 jenis bantuan pendidikan termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah serta bantuan Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Manakala intervensi keempat ialah bantuan kebajikan yang memfokuskan kepada golongan tidak produktif seperti warga emas, pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU), sementara intervensi kelima ialah bantuan keusahawanan dan peningkatan ekonomi melalui program seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sejahtera MADANI.
Ketua Menteri berkata kerajaan negeri meletakkan agenda pembasmian kemiskinan sebagai keutamaan dalam pembangunan negeri.
“Ini adalah tekad kerajaan negeri bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara dan setiap rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
“Dalam konteks ini, usaha telah dan sedang kita laksanakan di bawah Pelan Pembangunan SMJ 1.0 dan kini diteruskan melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0,” katanya.






