BEAUFORT: Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan menyalurkan sebanyak 500,000 benih udang kepada pengusaha di Kampung Bintuka sebagai langkah memperkukuh industri akuakultur dan meningkatkan pengeluaran hasil ternakan di daerah ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam membantu pengusaha tempatan mengembangkan perusahaan ternakan udang yang mempunyai potensi pulangan ekonomi yang tinggi.
Menurut beliau, kawasan ternakan di Kampung Bintuka yang melibatkan kira-kira enam pengusaha dengan keluasan keseluruhan sekitar 50 ekar kini berjaya menghasilkan udang segar untuk pasaran di Kota Kinabalu dan Brunei.
“Pengusaha di sini berjaya menghasilkan udang yang memenuhi piawaian pasaran termasuk untuk restoran makanan laut di Kota Kinabalu. Sebagai permulaan, kerajaan akan membantu menyediakan 500,000 benih udang bagi kegunaan kolam-kolam sedia ada di kawasan ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke projek ternakan udang di Kampung Bintuka, baru-baru ini.
Beliau berkata, kementerian turut bersetuju membantu menyediakan kemudahan penyimpanan dan pemprosesan udang secara berpusat yang boleh dimanfaatkan secara bersama oleh semua pengusaha di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebuah tapak yang sesuai telah dikenal pasti bagi pembinaan kolam simpanan serta kemudahan penyimpanan sejuk (cold room) untuk memastikan hasil tuaian dapat dikendalikan dengan lebih sistematik dan berkualiti.
“Ketika musim menuai, ada kalanya sebahagian hasil tidak dapat diambil segera oleh pembeli. Dengan adanya kemudahan ini, pengusaha dapat menyimpan hasil mereka dengan lebih baik sebelum dipasarkan.
“Sistem penyimpanan yang dicadangkan mampu mengekalkan kesegaran dan kualiti udang sehingga sebulan,” katanya.
Jamawi berkata, sektor pertanian, perikanan dan penternakan mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan lumayan sekiranya diurus secara moden dan berdaya maju.
Katanya, sebuah kolam ternakan mampu menghasilkan sehingga 10 tan udang dengan nilai pengeluaran mencecah kira-kira RM250,000 bagi setiap kitaran.
“Sebab itu saya sentiasa menekankan bahawa sektor pertanian, perikanan dan penternakan boleh menjadi sumber pendapatan yang tinggi kepada penduduk luar bandar sekiranya diuruskan dengan baik dan terancang,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana pengusaha di kawasan itu masih bersemangat meneruskan aktiviti ternakan walaupun industri akuakultur berdepan pelbagai cabaran termasuk penyakit, bekalan air dan faktor persekitaran di beberapa lokasi lain.
Katanya, Jabatan Perikanan Sabah (DOF) turut diarahkan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha bagi mengenal pasti keperluan tambahan yang boleh dibantu kerajaan, termasuk penyediaan peralatan pengudaraan atau kipas kolam bagi meningkatkan produktiviti ternakan.
Menurut beliau, spesies yang diternak di kawasan berkenaan ialah udang putih atau Penaeus vannamei, iaitu antara spesies paling popular dalam industri akuakultur dan mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan serta antarabangsa.
Terdahulu, Jamawi turut mengadakan lawatan ke Kampung Binsuluk bagi meninjau perusahaan belacan dan ikan bilis yang diusahakan penduduk setempat.




