Kerjasama PH, BN Jejaskan Kepercayaan Rakyat Dan Pendirian Parti Politik – Tun...

Kerjasama PH, BN Jejaskan Kepercayaan Rakyat Dan Pendirian Parti Politik – Tun Mahathir

0
SHARE
Tun Dr Mahathir Mohamad...

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan telah meremehkan dan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada janji serta pendirian parti politik.

Menurut beliau yang dipetik sumber Berita Harian, kerjasama antara dua gabungan utama itu dilihat saling bermusuhan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) khususnya sepanjang kempen pilihan raya.

Katanya lagi, kerjasama PH dan BN juga tidak menghormati undi rakyat yang memilih kedua-dua parti itu dalam PRU15 selepas percaya dengan janji dan pendirian mereka yang sebelumnya bertegas menolak satu sama lain.

“Saya dapati sekarang ini dalam pilihan raya, janji dibuat. Selepas menang pilihan raya, janji diketepikan dan tindakan yang bertentangan dengan janji dilaksanakan…

“Bermakna kerajaan ini tidak hormati janji yang mereka buat dengan rakyat. Rakyat tentu kecewa kerana mereka menyokong atas sikap dan dasar parti atau calon, tetapi apabila menang mereka ketepikan dasar dan janji mereka.

“Ini memberi gambaran seolah-olah pilihan raya tidak berkesan dalam menentukan pihak yang akan jadi kerajaan berdasarkan janji yang baik. Mereka mungkin lakukan benda yang di luar atau bertentangan janji mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibentuk hasil kerjasama luar biasa membabitkan PH dan BN, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (kiri) yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mod Shafie Apdal pada Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 16 Dis 2022…

Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas tiada mana-mana parti berjaya mendapat majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi Parlimen dalam PRU15, menyebabkan Parlimen tergantung selama lima hari sebelum Istana Negara mengumumkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Dalam PRU15, PH mendapat jumlah kerusi Parlimen terbanyak dengan 82 kerusi, disusuli Perikatan Nasional (PN) yang menang 74 kerusi, BN (30), GPS (23), GRS (6), serta tujuh lagi diperoleh beberapa parti lain dan dua calon Bebas.

Keputusan Pilihan Raya Utama Ke-15 (PRU-15)…

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang tewas dalam PRU15 di Parlimen Langkawi, turut menyifatkan kerjasama PH dan UMNO sebagai perkara pelik dan mengetepikan pendirian masing-masing.

“Itu peliklah kerana kita tahu, UMNO dalam mesyuarat agungnya memutuskan tidak sama sekali bersama dengan Anwar atau DAP. Pakatan yang diadakan ini menidakkan dakwaan pendirian mereka. Pendirian mereka ialah tidak akan terima kerjasama dengan Anwar dan DAP…

“Sekarang ini bukan saja mereka kerjasama, bahkan menyokong musuh mereka sebagai Perdana Menteri dan (UMNO) bekerjasama dengan DAP,” katanya.