
KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) yang berkuat kuasa serta-merta ke atas premis makanan yang tular dengan kejadian seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan.
Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim, menegaskan tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dilakukan sekiranya premis berkenaan masih beroperasi setelah NPPS dikeluarkan.
Memetik sumber Berita Harian, pihaknya hanya akan mempertimbangkan permohonan lesen baharu jika semua syarat terutama berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.
“NPPL yang berkuat kuasa serta-merta akan dikeluarkan ke atas premis makanan tersebut selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, yang telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada 24 Disember lalu ke atas premis berkenaan…
“Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ.
“MPAJ mengambil berat isu yang telah berlaku ini dan tindakan akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan,” katanya demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan rekod pemeriksaan lepas, pihaknya mendapati penarafan kebersihan di premis terbabit adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru pada Januari lalu.
Bagi memastikan tahap kebersihan di premis makanan sentiasa terjamin, beliau berkata MPAJ sentiasa melakukan pemantauan kawalan kebersihan bagi memastikan syarat dan peraturan ditetapkan pihaknya sentiasa dipatuhi.