KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Aru, Dr Ritchie Jay Cheng, mengetuai pengagihan lebih 200 kuih kochung kepada komuniti sempena sambutan Pesta Perahu Naga dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim antara pelbagai kaum pada Jumaat.
Program anjuran UPPM Tanjung Aru itu turut disertai Kapitan Sembulan, Chok, Kapitan Tanjung Aru, David, ketua-ketua kampung, Pengerusi JKKK dan JKDB serta golongan belia setempat.
Dr Ritchie berkata sambutan tersebut bukan sahaja memelihara dan menghargai warisan budaya masyarakat Cina, tetapi turut menjadi platform memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
“Kita tidak boleh membina masyarakat yang kuat hanya melalui pembangunan fizikal semata-mata. Kita juga perlu membina jambatan perpaduan antara rakyat,” katanya.
Beliau berkata, program seumpama itu memberi ruang kepada masyarakat untuk berkumpul, berinteraksi dan saling memahami budaya masing-masing.
“Sambutan seperti Pesta Perahu Naga memberi ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk berkumpul, berinteraksi dan menghargai budaya masing-masing.
“Perpaduan yang kukuh bermula daripada hubungan yang ikhlas di peringkat komuniti,” katanya.






