Lelaki Ditahan Memandu Dalam Keadaan Mabuk dan Boleh Didenda Hingga RM30,000

Lelaki Ditahan Memandu Dalam Keadaan Mabuk dan Boleh Didenda Hingga RM30,000

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan dalam Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Pintas Penampang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.

Operasi ini bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan demi keselamatan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang operasi berkenaan, polis telah mengeluarkan sebanyak 24 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Daripada jumlah itu, 16 saman dikeluarkan terhadap individu yang didapati memandu tanpa lesen.

Operasi yang diketuai Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad itu turut dibantu tujuh anggota polis.

Dalam operasi sama, seramai 63 individu dan 53 kenderaan telah diperiksa bagi mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Sammy berkata, IPD Penampang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membendung kesalahan trafik yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memandu tanpa lesen atau berada di bawah pengaruh alkohol kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang risiko kemalangan dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.