Penyerahan Kuasa Kawal Selia Pelabuhan Bintulu Bukti Komitmen MA63

Penyerahan Kuasa Kawal Selia Pelabuhan Bintulu Bukti Komitmen MA63

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak disifatkan sebagai antara pencapaian paling signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak pembentukan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, langkah berkenaan bukan sahaja mengiktiraf hak dan kedudukan Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia, malah membuktikan bahawa pelaksanaan MA63 dapat dilaksanakan menerusi semangat kerjasama yang mewujudkan situasi menang-menang kepada Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Sarawak kini mempunyai peranan yang lebih besar dalam pengurusan aset strategiknya, manakala negara pula akan mendapat manfaat daripada pembangunan hab logistik, perindustrian dan tenaga hijau bertaraf dunia yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

“Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak merupakan antara pencapaian paling signifikan dalam pelaksanaan MA63 sejak pembentukan Malaysia.

“Walaupun tuntutan ini telah diperjuangkan dan dirundingkan merentasi beberapa pentadbiran, penyelesaian perundangan dan pelaksanaannya akhirnya berjaya dimuktamadkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mustapha berkata, komitmen Kerajaan MADANI terhadap pelaksanaan MA63 tidak hanya terhenti pada peringkat dasar, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan perundangan yang konkrit.

Beliau menjelaskan, kelulusan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024 serta Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2024 telah membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Persekutuan dan Sarawak dengan memberikan kuasa yang lebih besar kepada negeri itu dalam mengurus aset strategiknya.

Mengulas lanjut, beliau berkata transformasi Pelabuhan Bintulu perlu dilihat sebagai langkah strategik yang melangkaui kepentingan sesebuah negeri kerana pelabuhan berkenaan kini berkembang sebagai pusat perindustrian, logistik dan tenaga hijau yang penting kepada Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

Katanya, usaha pemodenan yang sedang dilaksanakan melibatkan pendigitalan sistem operasi, penggunaan teknologi automasi dan peningkatan kecekapan pengurusan pelabuhan bagi memastikan daya saingnya terus kekal dalam menghadapi perubahan ekonomi global.

“Pelabuhan Bintulu bukan lagi sekadar hab eksport gas asli cecair (LNG) terbesar negara, tetapi sedang berkembang sebagai pusat perindustrian, logistik dan tenaga hijau yang bakal memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

“Langkah ini juga menyokong aspirasi negara untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050 melalui amalan operasi yang lebih mampan dan mesra alam,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan strategik Bintulu yang disokong oleh sumber tenaga boleh diperbaharui Sarawak, khususnya hidroelektrik berskala besar, turut meningkatkan daya tarikan kawasan itu kepada pelabur antarabangsa yang beralih kepada operasi rendah karbon.

Menurutnya, perkembangan tersebut berpotensi menjadikan Sarawak sebagai hab utama industri hijau, tenaga bersih dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini.

Mustapha menegaskan bahawa pelaksanaan MA63 tidak seharusnya dianggap sebagai kehilangan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan, sebaliknya merupakan usaha memperkukuh Persekutuan Malaysia melalui pengiktirafan terhadap hak, peranan dan potensi sebenar Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas negara.

Beliau berkata Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar Ibrahim akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak yang diterajui Abang Johari Openg bagi memastikan setiap kejayaan pembangunan yang dicapai dapat diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat.

“Kejayaan ini perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih luas, peningkatan pelaburan, pembangunan infrastruktur moden dan pertumbuhan ekonomi yang mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.