KOTA KINABALU: Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa kadar pengangguran di Sabah menurun apabila berkurang kepada 5.5 peratus berbanding 6.0 peratus pada Suku Tahun Keempat 2025.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 1.78 juta orang berbanding 1.76 juta orang pada suku sebelumnya.
Manakala bilangan tenaga buruh katanya turut bertambah kepada 1.89 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal tinggi pada 70.3 peratus.
“Pencapaian ini selari dengan prestasi sosioekonomi Sabah yang positif sebagaimana dilaporkan oleh DOSM.
“Sentimen perniagaan yang memberangsangkan, prospek ekonomi yang terus menggalakkan serta kapasiti industri yang mencecah 78.7 peratus pada suku tahun pertama 2026 telah menyumbang kepada pengukuhan pasaran buruh dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah Azrul yang lebih signifikan lagi, Sabah terus merekodkan penurunan kadar pengangguran secara konsisten walaupun pada peringkat nasional berlaku peningkatan kadar pengangguran pada beberapa tempoh tertentu dan terdapat beberapa negeri lain yang mencatatkan kenaikan kadar pengangguran.
“Dalam keadaan ekonomi global yang masih mencabar, Sabah sebaliknya berjaya mengekalkan momentum pemulihan pasaran buruh dengan mencatatkan penurunan berterusan, sekali gus membuktikan daya tahan ekonomi negeri serta keberkesanan dasar yang dilaksanakan,” jelasnya.
Mengulas lanjut Azrul berkata, sejak mencatatkan kadar pengangguran tertinggi sebanyak 8.2 peratus ketika kemuncak pandemik COVID-19, Sabah telah berjaya menurunkannya kepada hanya 5.5 peratus pada Suku Tahun Pertama 2026.
“Ini bermakna kadar pengangguran negeri telah berkurangan sebanyak 2.7 mata peratusan dalam tempoh beberapa tahun, satu pencapaian yang mencerminkan keberkesanan dasar dan inisiatif Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan berorientasikan penciptaan pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul menjelaskan, antara faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan positif ini ialah kejayaan kerajaan negeri menarik pelaburan domestik dan asing yang membuka peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor.
Tambah beliau, perkembangan memberangsangkan ini turut diterjemahkan melalui penurunan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah daripada 9.4 peratus pada tahun 2020 kepada 7.1 peratus pada tahun 2024.
“Penurunan ini membuktikan bahawa usaha kerajaan negeri untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi mula menampakkan hasil.
“Semakin ramai graduan dan anak muda Sabah kini berpeluang memperoleh pekerjaan yang lebih kritikal, setanding dengan kelayakan mereka serta menawarkan gaji yang lebih bermaruah sebagaimana yang diharapkan oleh golongan berpendidikan tinggi,” ujarnya.
Katanya lagi, kejayaan awal ini dijangka akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan menerusi pembangunan taman-taman perindustrian baharu di Sabah, termasuk yang berteraskan ekonomi biru serta industri bernilai tinggi.
“Inisiatif ini dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan lebih baik dalam sektor maritim, logistik, pemprosesan makanan, tenaga, teknologi dan perkhidmatan profesional, sekali gus menyediakan ruang kerjaya yang lebih luas kepada graduan dan tenaga kerja tempatan,” tegasnya






