SEMPORNA: Kerajaan Negeri Sabah sedang merangka pelbagai program sempena Tahun Melawat Sabah 2027 yang akan menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, program Tahun Melawat Sabah 2027 bukan sahaja bertujuan mengekalkan momentum positif daripada Tahun Melawat Malaysia 2026, malah memastikan kesinambungan pertumbuhan industri pelancongan yang mampan dan inklusif.
Seiring dengan pengisytiharan Tahun Melawat Malaysia 2026, katanya, Kerajaan Sabah telah dan akan terus mempergiat pelbagai inisiatif, program serta acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
“Ini termasuklah program seperti Regatta Lepa Semporna selain mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti serta memperkukuhkan kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya pada majlis perasmian Regatta Lepa Semporna di sini, semalam.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurut Hajiji, dengan pelbagai program yang dirancang, Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selain membuat persediaan awal bagi menjayakan Tahun Melawat Sabah 2027.
“Tahun lalu, Sabah mencatat prestasi memberangsangkan dengan menerima 3.79 juta pelawat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan budaya dan maritim yang unggul di rantau ini.
“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, usaha memelihara warisan budaya bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama agar identiti dan jati diri kita tidak hilang ditelan zaman.
“Justeru, dalam konteks ini kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah, dengan kepelbagaian khazanah budaya dijadikan tarikan ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata Regatta Lepa telah membuktikan bahawa acara berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan yang berimpak tinggi.
“Setiap tahun, ribuan pelawat datang ke Semporna untuk menyaksikan sendiri keindahan perahu lepa, persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional serta pelbagai aktiviti yang disediakan.
“Kehadiran pelancong ini secara langsung memberi manfaat kepada pengusaha hotel, pengusaha bot pelancongan, peniaga kecil, usahawan kraftangan, pengusaha makanan dan minuman serta masyarakat setempat,” katanya.
Hajiji berkata, perahu lepa merupakan simbol kehidupan masyarakat Bajau Semporna sejak zaman-berzaman yang bukan sahaja berfungsi sebagai pengangkutan di lautan, malah menjadi lambang kemahiran, kreativiti dan kehalusan seni masyarakat.
“Keunikan inilah yang menjadikan Regatta Lepa begitu istimewa. Ia mempamerkan keindahan budaya, adat resam dan nilai-nilai kehidupan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
“Warisan seperti ini perlu terus dipelihara kerana ia merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya,” katanya.






