KOTA KINABALU: Seorang gadis muda dari Sabah, Noor Hafizah Zubaidi atau lebih dikenali sebagai Fifiana, mencatat sejarah peribadi apabila membuat penampilan sulungnya dalam perlumbaan ultra trail berprestij, Chiang Mai UTMB (Ultra-Trail du Mont-Blanc), yang berlangsung dari 5 hingga 7 Disember lepas di Chiang Mai, Thailand.
Acara antarabangsa ini dianjurkan oleh Running Connect Company Limited dan merupakan salah satu kejohanan utama dalam siri dunia UTMB World Series, impian setiap pelari denai di seluruh dunia.
Dengan cabaran 160KM untuk penyertaan pertama, Fifiana berdepan rintangan fizikal dan mental yang luar biasa.
Laluan perlumbaan mencatatkan ketinggian mencecah 9,711 meter, dengan had masa ketat 48 jam serta cut-off time di setiap water station dan checkpoint yang menuntut fokus penuh untuk tiba di garisan penamat.
“Ini adalah impian setiap pelari denai, dan saya mahu menggapai impian pertama saya menamatkan larian 160KM di sini,” kata Fifiana.
Walaupun ini adalah kejohanan UTMB pertamanya, sepanjang tahun ini, Fifiana telah menyertai sembilan acara marathon jalan raya di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat, Miri, Kuching, Putrajaya, Kuala Lumpur serta Osaka, Jepun.
Beliau yang berasal dari Tamparuli juga pernah menyertai dua acara trail marathon di Sabah, iaitu Kadamaian Adventure Race (60KM) dan TMBT (50KM), menunjukkan dedikasinya yang tinggi dalam dunia larian, baik di jalan raya mahupun denai.
Selain aktif bertanding, Fifiana turut mengetuai komuniti pelari di Kota Kinabalu, RUNSYND, yang menganjurkan sesi latihan percuma dan berbayar untuk pelari baru dan berpengalaman, sambil berkongsi ilmu serta membina budaya larian sihat di Sabah.






