PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memperluaskan subsidi diesel kepada peniaga kecil yang memiliki kenderaan diesel jenis jip dan pikap berdaftar atas nama perniagaan, selain menyemak semula kadar kuota tetap di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dengan mengambil kira faktor teknikal termasuk Berat Dengan Muatan (BDM), kapasiti enjin dan pola operasi kenderaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu merupakan antara penambahbaikan yang dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel lebih adil, bersasar dan mengambil kira keperluan sebenar rakyat serta sektor perniagaan.
Beliau berkata, peluasan itu membolehkan peniaga kecil yang menggunakan kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama syarikat di bawah kelas kegunaan persendirian perniagaan turut menikmati subsidi diesel, berbanding sebelum ini yang hanya diberikan kepada kenderaan individu di bawah BUDI Diesel dan syarikat pengangkutan barangan melalui SKDS.
“Pelarasan ini dilaksanakan bagi memastikan maklum balas rakyat disantuni melalui strategi dan pendekatan yang mengambil kira faktor kos sara hidup, pengurusan risiko ketirisan serta kedudukan dan ruang fiskal negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Armizan berkata, kerajaan turut akan menyemak kadar kuota tetap bagi beberapa kategori kenderaan pengangkutan darat di bawah SKDS dengan mengambil kira faktor seperti BDM, kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api serta corak operasi bagi memastikan agihan subsidi lebih tepat dan munasabah.
Menurut beliau, melalui SKDS, penggunaan diesel serta jumlah subsidi yang diterima oleh setiap kenderaan dan syarikat akan direkodkan bagi meningkatkan ketelusan serta mengelakkan ketirisan.
Terdahulu, Armizan meninjau kesiapsiagaan pelaksanaan BUDI Diesel di Stesen Shell Presint 18, Putrajaya menjelang pelaksanaan penuh mekanisme itu di seluruh negara bermula 1 Julai depan.
Beliau berkata, pelaksanaan secara rintis bermula hari ini bagi menguji kestabilan sistem dengan akses awal diberikan kepada penerima yang layak di stesen minyak di Semenanjung Malaysia pada harga RM2.15 seliter, sebelum harga subsidi RM2.10 seliter dikuatkuasakan mulai 1 Julai.
“KPDN komited memastikan pelaksanaan mekanisme ini membolehkan rakyat mendapat akses untuk memanfaatkan bantuan subsidi bahan api dengan lancar, selamat dan mesra pengguna,” katanya.
Tambah beliau, hasil kerjasama kerajaan dan industri, sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara yang dikendalikan oleh 10 syarikat minyak iaitu PETRONAS, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, PETROS dan IPTB kini telah bersedia melaksanakan sepenuhnya mekanisme BUDI Diesel.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata KPDN bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan telah diarahkan mengambil tindakan susulan segera bagi melaksanakan keputusan Jemaah Menteri.
Ini katanya, termasuk mengenal pasti mekanisme penyaluran yang bersesuaian serta membuat pengubahsuaian dan pengintegrasian terhadap sistem sedia ada bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel berjalan lancar dan berkesan.






