Lelaki Didenda RM10,000, Berurus Niaga Diesel Tanpa Lesen

Lelaki Didenda RM10,000, Berurus Niaga Diesel Tanpa Lesen

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini selepas mengaku bersalah menjalankan urus niaga minyak diesel tanpa lesen yang sah pada 19 April lalu.

Tertuduh, Abdul Salam Ismail, 36, mmebuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain pada 25 Jun lalu atas pertuduhan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, namun Abdul Salam telah menjelaskan denda tersebut.

Selain itu, hasil jualan minyak diesel bernilai RM774.09 dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia bersama semua barang sitaan, kecuali sebuah kenderaan Toyota Hilux Rocco yang diperintahkan dikembalikan kepada pemilik berdaftar.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes berkenaan berpunca daripada pemeriksaan Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di kawasan parkir Jalan Tugu pada 19 April lalu hasil maklumat risikan. Pemeriksaan menemui 186 liter minyak diesel yang disimpan dalam sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter di bahagian belakang kenderaan Toyota Hilux Rocco.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh tidak memiliki lesen yang sah untuk menjalankan urus niaga melibatkan barang kawalan berjadual berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, sabitan itu membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu.

“KPDN Sabah akan terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan melalui Ops Tiris 4.0 Bersepadu dengan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan memastikan subsidi kerajaan benar-benar dinikmati golongan yang layak.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang menyalahgunakan barang kawalan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat serta menyebabkan ketirisan hasil negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kesalahan itu, Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Sehubungan itu, Shahril Nizam menggesa orang ramai supaya terus menjadi mata dan telinga KPDN dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi kementerian.