KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyambut baik pelancaran Program Solar Penggunaan Sendiri (Solar Rakyat Sabah) oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), yang dijangka memanfaatkan kira-kira 4,000 isi rumah di negeri ini.
Pengerusinya, David Chan, berkata inisiatif itu merupakan langkah progresif dalam memperkasakan tenaga boleh diperbaharui, selain membantu mengurangkan kos elektrik dan memperkukuh sekuriti tenaga jangka panjang.
“Pelaksanaan program ini amat tepat pada masanya ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Melalui sistem solar di kediaman, pengguna boleh menjana elektrik sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada grid,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar dalam tenaga solar berikutan sinaran matahari sepanjang tahun, menjadikan teknologi solar bumbung sebagai penyelesaian praktikal dan mampan.
Beliau berkata program itu bukan sahaja memberi penjimatan kepada pengguna, malah menyokong peralihan tenaga hijau dan meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan tenaga lestari.
YPNM Sabah turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha ECoS dan berharap program itu dapat diperluaskan, khususnya untuk manfaat golongan B40 dan M40.
David turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, atas pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi tersebut.






