Petugas Kesihatan Terus Komited Walau Sabah Masih Kekurangan Pakar – Julita

Petugas Kesihatan Terus Komited Walau Sabah Masih Kekurangan Pakar – Julita

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelbagai usaha sedang diperkukuh bagi menarik, melatih dan mengekalkan lebih ramai pakar perubatan di Sabah, termasuk galakan kepada pegawai perubatan melanjutkan pengajian kepakaran, peningkatan kuota Hadiah Latihan Persekutuan khusus, penyediaan Bayaran Insentif Penempatan Pedalaman (BIPP), serta kemudahan tuntutan perpindahan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, dedikasi petugas kesihatan membolehkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini terus beroperasi dan memberi rawatan kepada rakyat walaupun berdepan kekurangan pakar perubatan.

“Saya juga ingin memperjelaskan kenyataan saya sebelum ini bahawa perkhidmatan kesihatan masih boleh berfungsi dengan baik tidak bermaksud perkhidmatan kesihatan tidak terjejas oleh kekurangan pakar.

“Sebaliknya, apa yang saya tekankan ialah petugas kesihatan terus berusaha memastikan rakyat menerima rawatan dan perkhidmatan walaupun berdepan kekangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Julita menegaskan fokus perlu diberikan kepada usaha memperkukuh sistem kesihatan, menarik serta mengekalkan lebih ramai pakar, selain memastikan rakyat Sabah mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mampan dan saksama.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat, pakar serta seluruh warga kesihatan atas profesionalisme dan komitmen mereka dalam memastikan perkhidmatan terus berjalan.