Polis Terima Notis Bangkit Sabahan 2.0, Tiada Bagi Gempur Rasuah 3.0

Polis Terima Notis Bangkit Sabahan 2.0, Tiada Bagi Gempur Rasuah 3.0

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu memaklumkan hanya menerima satu notis pemakluman bagi penganjuran Perhimpunan Aman “Bangkit Sabahan 2.0”, manakala setakat ini tiada sebarang notis diterima daripada penganjur “Gempur Rasuah 3.0”.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, mana-mana penganjur perlu mengemukakan notis pemakluman kepada Ketua Polis Daerah sebelum sesuatu perhimpunan diadakan.

Penganjur bertanggungjawab memastikan perhimpunan berlangsung secara aman, mematuhi undang-undang, tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menghalang aliran trafik serta tidak menjejaskan keselamatan orang ramai,” katanya.

Beliau turut menegaskan penganjur perlu memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku termasuk isu 3R, unsur hasutan atau provokasi yang boleh mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak terlibat dalam mana-mana perhimpunan yang boleh mengganggu pergerakan lalu lintas dan menjejaskan kelancaran aktiviti harian di sekitar bandar raya ini.