PAPAR: Sedafiat Sdn Bhd melancarkan projek perintis kajian potensi air bawah tanah di Hospital Papar bagi memperkukuh ketahanan bekalan air fasiliti kesihatan di Sabah.
Inisiatif penuaian air bawah tanah itu dijangka menyumbang 15 hingga 20 peratus keperluan harian hospital, dengan kapasiti 20 hingga 27 meter padu sehari sebagai sumber alternatif kepada bekalan Jabatan Air.
Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat, Datuk Hj Ag Buhtamam Hj Ag Mahmun, berkata projek itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber bekalan, selain menjamin kesinambungan operasi hospital dan kesiapsiagaan ketika kecemasan.
“Ujian makmal sedang dijalankan bagi menentukan sama ada air ini sesuai sebagai air boleh guna atau air minum,” katanya.
Hospital Papar dipilih sebagai lokasi perintis berikutan potensi hidrogeologi yang positif, dengan parameter awal seperti pH dan kekonduksian elektrik berada dalam julat baik.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Ridwan Hashim, yang menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah memperkukuh amalan kelestarian. Katanya, sistem itu berpotensi diperluas ke hospital kerajaan lain jika projek berjaya.
Projek tersebut selari dengan komitmen ESG dan matlamat pembangunan mampan (SDG) dalam memperkukuh sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan lestari.






