SAREX Ex Limbawan 2026 Uji Kesiapsiagaan CARILAMAT, Libat 31 Agensi di Sabah

SAREX Ex Limbawan 2026 Uji Kesiapsiagaan CARILAMAT, Libat 31 Agensi di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu melaksanakan latihan Search and Rescue Exercise (SAREX) Ex Limbawan 2026 sebagai platform menguji kesiapsiagaan serta penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dalam menghadapi bencana maritim berskala besar.

Latihan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) pertama di Sabah itu melibatkan 200 peserta daripada 31 agensi kerajaan dan rakan industri, dengan operasi dijalankan serentak di Hotel Le Meridien sebagai pusat koordinasi, Jeti Maritim Sepanggar sebagai pangkalan operasi dan perairan Kota Kinabalu sebagai lokasi simulasi.

Senario latihan mensimulasikan insiden pelanggaran melibatkan sebuah Accommodation Work Barge (AWB) dengan FPSO Kikeh akibat kegagalan sistem semasa pemindahan kru, mencetuskan situasi kecemasan melibatkan 382 mangsa.

Sebanyak 19 aset laut dan darat digerakkan melibatkan Maritim Malaysia bersama agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta rakan industri.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, latihan itu bertujuan menguji keberkesanan pelaksanaan operasi SAR berpandukan Pelan MMRO 2022, Prosedur Tetap Operasi CARILAMAT dan OMSAR Guideline.

Latihan seperti ini amat penting bagi memastikan setiap agensi sentiasa bersedia, memahami peranan masing-masing dan mampu bertindak secara pantas, cekap serta bersepadu sekiranya berlaku insiden sebenar di laut,” katanya.

Beliau turut menghargai komitmen semua agensi terlibat yang disifatkan memperkukuhkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi sebarang kecemasan di perairan Malaysia.