KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berjumpa Presiden Donald J. Trump pada 12 September depan di White House, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia.
Menurut laporan portal online Bernama, kenyataan Kementerian Luar berkata, Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Washington, D.C. atas jemputan Trump.
Malaysia dan AS mengalu-alukan untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala mereka dan hubungan itu telah dipertingkat di bawah kepimpinan Najib dengan menjadikannya perkongsian yang lebih komprehensif berdasarkan kepentingan bersama.
“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkara berkaitan kerjasama dan kepentingan bersama meliputi keselamatan negara, perang global terhadap keganasan dan ekstremism serta perdagangan serta pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyat,” katanya.
Menurut Kedutaan AS, Trump mengalu-alukan untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala AS-Malaysia dan berharap dapat berbincang cara ”memperkukuh dan memperluas hubungan dua hala kita dan mengembangkan kerjasama serantau dengan negara antara rakan paling rapat AS di Asia Tenggara.”