Sabah Perkukuh Kerjasama KPSTI–JTK, Perkenal Inisiatif ‘Work Ready Sabah’

Sabah Perkukuh Kerjasama KPSTI–JTK, Perkenal Inisiatif ‘Work Ready Sabah’

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan memperkukuh kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, berdaya saing serta bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pembangunan modal insan merupakan agenda strategik negeri kerana kekuatan ekonomi Sabah bukan sahaja bergantung kepada pembangunan fizikal, malah turut dipacu oleh modal insan yang berilmu, berkemahiran, berinovasi dan memiliki etika kerja yang tinggi.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi perbincangan strategik bersama kepimpinan JTK Sabah yang menghimpunkan 55 pegawai kanan mewakili keseluruhan 251 warga jabatan itu dari seluruh negeri, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, JTK Sabah bukan sekadar agensi penguatkuasaan undang-undang perburuhan, malah menjadi rakan strategik kerajaan dalam mewujudkan ekosistem pekerjaan yang stabil, kondusif dan berdaya saing.

Peranan JTK Sabah melangkaui fungsi penguatkuasaan. Jabatan ini turut membimbing majikan memahami dan mematuhi undang-undang perburuhan, sekali gus melindungi hak pekerja, meningkatkan keyakinan pelabur serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

James turut mengiktiraf komitmen JTK Sabah yang melaksanakan amalan berpandukan prinsip Labour Inspection Convention, sekali gus memastikan standard perburuhan di Sabah terus mematuhi piawaian antarabangsa.

Pada masa sama, beliau mengumumkan beberapa cadangan strategik bagi memperkukuh pembangunan modal insan negeri, termasuk memperkenalkan inisiatif Work Ready Sabah yang menggabungkan latihan kemahiran teknikal, kemahiran insaniah, pendidikan perburuhan serta persediaan kerjaya bagi melahirkan graduan latihan yang lebih bersedia memasuki alam pekerjaan.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya Modul Pendidikan Perburuhan diperkenalkan dalam program latihan di bawah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), khususnya di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Papar.

Menurutnya, latihan kemahiran masa kini tidak lagi memadai dengan pengetahuan teknikal semata-mata, sebaliknya perlu melengkapkan peserta dengan kefahaman mengenai profesionalisme, etika kerja, hak pekerja dan tanggungjawab majikan.

Bagi memastikan tenaga pengajar sentiasa mengikuti perkembangan industri, James turut mencadangkan pelaksanaan program Training of Trainers (ToT) secara bersama antara KPSTI dan JTK Sabah.

Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh hubungan dengan sektor industri melalui penganjuran karnival kerjaya, latihan industri serta perkongsian data pasaran buruh bagi memastikan kursus dan latihan yang ditawarkan benar-benar memenuhi permintaan semasa industri.

Mengulas mengenai hala tuju pembangunan kemahiran negeri, James berkata penubuhan Sabah Skills Development Sdn. Bhd. (SSD) sebagai mandat strategik baharu Kerajaan Negeri akan menjadi mekanisme penyelarasan pembangunan kemahiran yang lebih bersepadu.

Katanya, SSD bukan sekadar sebuah entiti baharu, malah berperanan memastikan setiap pelaburan kerajaan dalam pembangunan kemahiran memberikan pulangan nilai (Return on Value) yang optimum kepada rakyat, industri dan ekonomi negeri.

“Saya yakin melalui sinergi kukuh antara KPSTI, JPSM, JTK Sabah, institusi latihan dan sektor industri, kita mampu melahirkan tenaga kerja Sabah yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri hari ini, malah bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JTK Sabah atas komitmen berterusan dalam menjaga kepentingan pekerja dan majikan serta memperkukuh hubungan perusahaan yang harmoni di negeri ini.