Abidin Bersama 30 Bekas Ahli STAR Paginatan Sertai Gagasan Rakyat

Abidin Bersama 30 Bekas Ahli STAR Paginatan Sertai Gagasan Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Datuk Abidin Madingkir hari ini secara rasmi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), bersama 30 bekas Ahli Jawatankuasa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Paginatan.

Borang keahlian mereka diserahkan kepada Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.

Turut menyertai parti itu ialah mantan pegawai kanan Kerajaan Negeri merangkap mantan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman.

Abidin berkata, beliau memilih Gagasan Rakyat selepas yakin parti tempatan itu merupakan platform terbaik untuk memperjuangkan kepentingan Sabah serta memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.

Beliau turut berharap dan menjangkakan lebih 3,000 penduduk di kawasan DUN Paginatan akan mengikut jejak langkah menyertai Gagasan Rakyat dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penyertaan Abidin bersama bekas kepimpinan STAR Paginatan membuktikan keyakinan rakyat yang semakin meningkat terhadap perjuangan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, kemasukan tokoh berpengalaman serta kepimpinan akar umbi itu dijangka memperkukuhkan jentera parti dan memperluaskan sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

Turut hadir pada majlis penyerahan borang keahlian itu ialah mantan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hisyamuddin Harun; bekas Timbalan Ketua Bahagian STAR Paginatan, Jius Konsuling; serta bekas Ketua Pemuda STAR Paginatan, Hillary Salmeon.