KOTA KINABALU: Sambutan terhadap sukan pickleball dalam kalangan wanita di Sabah terus menunjukkan perkembangan positif apabila Women’s Pickleball Championship 2026 mencatat peningkatan penyertaan sebanyak 60 peratus berbanding edisi lalu.
Pengarah program, Zahyra Ismail berkata, kejohanan anjuran bersama Bounce Pickle Club dan Dinkers Point Pickle Club itu berjaya menarik 80 pasangan atau 160 pemain dari seluruh Sabah, meningkat daripada hanya 50 pasangan pada tahun lalu.
Menurutnya, peserta yang mengambil bahagian datang dari Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kota Belud dan Kudat.
“Matlamat utama kami adalah menyediakan platform yang selesa kepada pemain-pemain pickleball wanita di Sabah. Kami percaya keselesaan ketika bertanding akan mempengaruhi kualiti permainan mereka.
“Selain itu, kami juga mahu memberi ruang kepada pemain wanita, khususnya pemain Muslimah, untuk bersaing dalam persekitaran yang lebih selesa tanpa berdepan halangan tertentu,” katanya pada sidang media selepas kejohanan itu di sini, semalam.
Beliau berkata, berbeza dengan tahun lalu, kejohanan kali ini mempertandingkan kategori veteran bagi pemain berusia 40 tahun ke atas menggantikan kategori terbuka, selain kategori novice dan intermediate.
Zahyra berkata, penganjuran kejohanan itu turut bertujuan memperluaskan pengiktirafan terhadap pemain pickleball wanita di Sabah, khususnya bekas pemain badminton yang kini beralih ke sukan berkenaan.
Katanya, walaupun beberapa pemain Sabah pernah beraksi di kejohanan antarabangsa, pembangunan bakat di negeri itu masih berdepan kekangan kerana kekurangan kejohanan berskala besar, jurulatih, akademi dan agensi pembangunan atlet berbanding di Semenanjung Malaysia.
“Pertandingan adalah antara platform terbaik untuk meningkatkan tahap permainan pemain, namun pembangunan bakat memerlukan ekosistem yang lebih lengkap termasuk aspek kejurulatihan dan akademi,” katanya.
Beliau berkata, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM3,000 bagi kategori intermediate, manakala juara kategori veteran membawa pulang RM2,000.
Menurutnya, penganjuran kejohanan disokong sepenuhnya oleh penaja tempatan termasuk usahawan dan syarikat berpangkalan di Sabah, sekali gus mencerminkan komitmen komuniti perniagaan tempatan dalam menyokong pembangunan sukan pickleball di negeri ini.






