KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijadual merasmikan Program NeuroHope di Dewan SK Bingkor pada Sabtu (18 Julai) ini.
Program anjuran Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor dan PPKI SK Bingkor itu dijangka menjadi antara inisiatif kesedaran neurodiversiti, pendidikan khas dan kesihatan mental terbesar di Keningau, serta yang pertama seumpamanya di Sabah.
Pengerusi persatuan, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperkukuh sokongan terhadap individu neurodivergen dan keluarga mereka.
“Program ini membuka ruang kepada masyarakat memahami neurodiversiti, pendidikan khas dan kesihatan mental, selain menggalakkan persekitaran lebih inklusif,” katanya.
NeuroHope tercetus daripada idea Rafie Robert dengan sokongan Dr Velerie Wheelervon Petrus.
Program terbuka kepada orang ramai, khususnya ibu bapa, guru dan pelajar, dengan pelbagai aktiviti termasuk saringan kesihatan, pemeriksaan mata, pameran KKM dan Hospital Keningau, jualan, persembahan kebudayaan serta cabutan bertuah.
Turut diadakan sesi perkongsian ilmu oleh Pakar Psikiatri Hospital Keningau, Dr Isabella Rosselline, termasuk ceramah “Embracing Neurodivergence” dan “Kesihatan Mental Ibu Bapa”.
Yazid berkata kehadiran Ketua Menteri memberi pengiktirafan penting terhadap usaha meningkatkan kesedaran pendidikan khas dan kesihatan mental di Sabah.






