TAWAU: Prestasi ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan serta menyokong agenda pembangunan negeri di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
Beliau berkata, pemantauan itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama kepimpinan di peringkat bahagian, presiden majlis, pegawai daerah serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sendiri bagi memastikan tadbir urus PBT sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Pemantauan dibuat melalui kepimpinan di bahagian, presiden majlis dan pegawai daerah yang mempunyai pengalaman dalam tata kelola kerajaan. Pada masa sama, kementerian sendiri akan terus memantau prestasi ahli-ahli majlis.
“Sebab itu dalam fasa pertama ini saya akan melawat semua majlis daerah dan majlis perbandaran di seluruh Sabah, dan lawatan hari ini merupakan yang ke-18,” katanya memetik laporan Jabatan Penerangan Tawau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Majlis Perbandaran Tawau, Majlis Daerah Semporna dan Majlis Daerah Kunak di Borneo Royale Hotel, di sini, baru-baru ini.
Mohd Arifin berkata, pelantikan ahli-ahli majlis baharu bukan sekadar mengisi keanggotaan PBT, malah bertujuan memperkukuh pentadbiran kerajaan tempatan serta memastikan setiap ahli memahami dasar dan hala tuju pembangunan negeri.
Sehubungan itu, katanya, KKTP akan menganjurkan sesi taklimat di seluruh Sabah bagi memberi pendedahan kepada ahli-ahli majlis mengenai agenda SMJ 2.0 dan pelaksanaan dasar kerajaan negeri.
“Kita mahu semua ahli majlis memahami wawasan dan hala tuju yang digagaskan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, termasuk fokus kepada SMJ 2.0 melalui pelbagai kementerian. Program seumpama ini akan diperluaskan ke seluruh bahagian di Sabah,” katanya.






