Pertimbang Kuota Sabah, Sarawak Dalam MCMC – Matbali

Pertimbang Kuota Sabah, Sarawak Dalam MCMC – Matbali

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah mencadangkan agar kuota wakil dari Sabah dan Sarawak dipertimbangkan dalam keanggotaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata, keperluan itu penting mengambil kira realiti geografi Sabah dan Sarawak yang jauh berbeza berbanding Semenanjung Malaysia.

Realiti ini hanya benar-benar difahami oleh mereka yang lahir dan membesar di negeri kita. Rakyat tempatan yang memahami kepelbagaian serta landskap geografi unik yang kita miliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, Matbali menekankan kepentingan keseimbangan dan perwakilan adil dalam suruhanjaya itu, sambil menyatakan penyertaan wakil dari Sabah dan Sarawak bukan sahaja menzahirkan prinsip keterangkuman, malah memperkayakan perspektif nasional.

“Sebuah negara yang kukuh ialah negara yang mendengar setiap suara, bukan hanya suara yang paling hampir dengan pusat pentadbiran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik rang undang-undang berkenaan dan menyifatkannya sebagai tepat pada masanya serta wajar disokong.

“Pindaan ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan komited memastikan MCMC kekal relevan dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat, ekonomi digital dan perkembangan teknologi masa depan,” katanya.