Sabah Disasar Jadi Hab STEM Malaysia Timur, Sokong Penubuhan 25 Pusat STEM...

Sabah Disasar Jadi Hab STEM Malaysia Timur, Sokong Penubuhan 25 Pusat STEM – James

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan untuk muncul sebagai hab utama pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Malaysia Timur menerusi cadangan penubuhan sebuah Pusat STEM Sabah di Kota Kinabalu serta 24 pusat STEM daerah yang bakal memperluaskan akses pendidikan teknologi kepada pelajar di seluruh negeri.

Hasrat itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib selepas menerima pembentangan cadangan berkenaan daripada Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Mas Sahidayana Mokhtar dan Presiden Persatuan STEM Kebangsaan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Noraini Idris dalam Mesyuarat Pemerkasaan STEM di pejabatnya, Isnin lalu.

Cadangan tersebut menyaksikan Kota Kinabalu berperanan sebagai ibu pejabat Pusat STEM Sabah yang dilengkapi kemudahan moden termasuk Makmal Kecerdasan Buatan (AI), robotik, dron, Digital Fabrication Lab, Makerspace, inkubator syarikat pemula pelajar dan pusat data STEM.

Pada masa sama, 24 pusat STEM daerah dicadangkan diwujudkan bagi memperluaskan peluang pembelajaran kepada pelajar luar bandar dan pedalaman menerusi kemudahan seperti makmal AI, robotik, pengaturcaraan, Internet of Things (IoT), percetakan 3D serta bilik realiti maya (VR/AR).

James berkata, inisiatif itu bukan sekadar memperkukuh pendidikan STEM, malah menjadi langkah strategik melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang teknologi yang diperlukan industri masa depan.

Kita mahu menjadikan Sabah sebagai hab STEM utama di Malaysia Timur dengan menyediakan ekosistem pembelajaran bertaraf tinggi yang dapat diakses pelajar di seluruh negeri, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) serta keperluan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Projek yang dianggarkan bernilai RM195 juta itu dijangka dibiayai menerusi gabungan peruntukan kerajaan, kerjasama industri, tanggungjawab sosial korporat (CSR), geran antarabangsa dan kerjasama awam-swasta (PPP).

Dalam tempoh lima tahun, pelaksanaannya menyasarkan penyertaan 500,000 pelajar, latihan kepada 20,000 guru, penghasilan 10,000 projek inovasi, penganjuran 500 pertandingan STEM serta pembangunan 500 syarikat pemula teknologi pelajar.