PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Sabah atas dedikasi, komitmen dan kerjasama berterusan mereka sepanjang tiga tahun beliau menerajui kementerian itu.
Ewon yang juga Presiden UPKO mengesahkan keputusan untuk berundur daripada Kabinet Persekutuan atas prinsip mempertahankan hak-hak Sabah, selaras dengan perjuangan parti dan pendiriannya dalam agenda memperkasa suara negeri dalam struktur pentadbiran Persekutuan.
Menurutnya, sepanjang kepimpinannya, KUSKOP telah berjaya melaksanakan pelbagai program di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang memberi penekanan kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi khususnya di Sabah dan Sarawak.
Antara inisiatif signifikan yang dilaksanakan termasuk pelantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam lembaga pengarah agensi-agensi KUSKOP, pembukaan cawangan baharu agensi, peluasan perkhidmatan perbankan Bank Rakyat ke kawasan pedalaman serta pelaksanaan program khas seperti Projek Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, Geran Usahawan Bumiputera Sabah/Sarawak, Program Ehsan@KUSKOP, Hab PMKS Sabah Sarawak, Live Hab Studio TikTok TEKUN dan Pusat Penjaja Moden Kundasang.
Selain itu, penganjuran program peringkat nasional di Sabah dan Sarawak serta penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah turut menjadi sebahagian daripada langkah strategik memperkasa ekosistem keusahawanan wilayah ini.
Ewon turut menegaskan komitmennya sebagai Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan untuk terus menyokong setiap Rang Undang-Undang berkaitan KUSKOP di Parlimen serta berperanan sebagai Friends of Ministry bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan usahawan di Sabah tidak terhenti.
Beliau berkata, tempoh tiga tahun menerajui KUSKOP merupakan pengalaman amat berharga dan menginsafkan, sambil menyifatkan semangat “We Make It Happen” dalam kalangan warga kementerian sebagai penggerak kejayaan serta faktor yang memberi inspirasi kepada kepimpinannya.
Hadir sama dalam Majlis Apresiasi bersama agensi-agensi KUSKOP Sabah ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SME Corp Tan Sri Bernard Dompok serta ahli-ahli lembaga dan ketua-ketua agensi KUSKOP di Sabah.






