KOTA KINABALU: Gwynne Mia Erbin, 12 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang, telah berjaya ditemui dalam keadaan selamat, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli keluarganya hari ini.
Keluarga memaklumkan Gwen Mia kini berada di balai polis bagi melengkapkan proses pengambilan keterangan, manakala keadaannya dilaporkan terkawal sepenuhnya.
Menerusi kenyataan bersama ahli keluarga mangsa, Jaime Crystal dan Annie Luh, pihaknya melahirkan rasa syukur atas penemuan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sepanjang usaha mencarinya.
Menurut mereka, sokongan masyarakat yang berkongsi hebahan kehilangan, menyemak rakaman kamera papan pemuka (dashcam), menyalurkan maklumat, menghulurkan bantuan serta mendoakan keselamatan Gwen Mia memainkan peranan penting sehingga beliau berjaya ditemui.
“Kami amat bersyukur atas segala bantuan yang diberikan dan berterima kasih kerana Gwen Mia kini selamat.
“Kerjasama serta kesungguhan semua pihak dalam menyebarkan maklumat telah memainkan peranan yang sangat besar dalam usaha menemukannya,” menurut kenyataan itu.
Keluarga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak sekolah, pihak media, rakan-rakan, ahli keluarga serta semua individu yang terlibat sehingga kes berkenaan berjaya diselesaikan dengan selamat.






