KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Joniston Bangkuai masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk penggal 2026–2029.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Mojungki berkata Dr Joachim merupakan calon tunggal selepas pencalonan ditutup 31 Julai, manakala Joniston turut tidak dicabar bagi kuota Bumiputera bukan Islam.
Datuk Ruslan Muharram juga menang tanpa bertanding bagi kuota Bumiputera Islam selepas pencabar gagal memenuhi syarat minimum tiga pencalonan.
Bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Datuk Lo Su Fui dan Goon Thien Shang.
Sementara itu, persaingan bagi Naib Presiden menyaksikan tiga calon bagi kuota Bumiputera bukan Islam, enam bagi kuota Bumiputera Islam dan lima bagi kuota Cina, dengan masing-masing merebut dua, dua dan satu jawatan.
Julita berkata PBS menerima rekod 79 pencalonan, lebih separuh melibatkan calon baharu.
Dr Joachim berkata penyertaan tinggi itu mencerminkan minat untuk berkhidmat dan memberi petanda positif kepada proses peremajaan parti.
Beliau turut memaklumkan persiapan sedang giat dijalankan bagi Kongres PBS yang dijadual berlangsung September ini.






