DAP Nilai Sokongan, Hala Tuju Saki-Baki Penggal

DAP Nilai Sokongan, Hala Tuju Saki-Baki Penggal

0
SHARE

KOTA KINABALU: DAP dijangka membincangkan kemerosotan sokongan terhadap parti yang dikaitkan dengan kehilangan keyakinan rakyat terhadap usaha reformasi, pada Kongres Kebangsaan parti itu, 16 Ogos ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Datuk Chan Foong Hin berkata, kongres melibatkan lebih 4,000 perwakilan itu akan menilai hala tuju parti selepas tiga setengah tahun dalam kerajaan, termasuk faktor yang menjejaskan prestasi dan sokongan akar umbi.

Beliau berkata, kegagalan melaksanakan beberapa reformasi utama seperti had 10 tahun jawatan Perdana Menteri serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya antara lain berpunca daripada kekurangan sokongan di Parlimen.

Menurutnya, keadaan itu turut dipengaruhi kehadiran yang tidak konsisten dalam kalangan ahli Parlimen blok kerajaan, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan sokongan mencukupi bagi meluluskan reformasi.

“Tanpa sokongan mencukupi, sukar untuk melaksanakan reformasi besar,” katanya.

Chan berkata, isu berkenaan serta persepsi rakyat terhadap keberkesanan agenda reformasi akan menjadi antara fokus perbahasan dan pengundian dalam kongres itu.

Beliau menegaskan, kongres berkenaan bukan reaksi kepada perkembangan politik semasa, sebaliknya sebahagian daripada proses demokrasi dalaman parti untuk menentukan hala tuju seterusnya.

Mengulas landskap politik semasa, Chan menyifatkannya sebagai “kabur”, merujuk perkembangan pilihan raya negeri di Semenanjung selepas keputusan kurang memberangsangkan, termasuk kemunculan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama pemimpin yang dilihat sehaluan dengan blok kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, situasi di Sabah berbeza dengan pendirian parti yang kekal lebih jelas walaupun berdepan keputusan pilihan raya.

Beliau turut menekankan keperluan menyeimbangkan kejelasan politik dengan sokongan Parlimen yang mencukupi bagi memastikan reformasi serta Belanjawan Persekutuan dapat diluluskan.

“Persoalan utama ialah apa yang ingin dicapai dalam tempoh baki penggal ini,” katanya.