TENOM: Usaha memperkasakan teknologi penanaman secara organik merupakan antara langkah penting dalam memastikan keterjaminan makanan selain meningkatkan tahap kesihatan masyarakat, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, masyarakat kini semakin mementingkan kesihatan dan sumber makanan yang mereka ambil, sekali gus menjadikan pengeluaran hasil pertanian organik semakin penting.
“Sekiranya banyak perladangan organik kita giatkan, maka ia akan menjamin keterjaminan makanan dan juga kesihatan yang lebih baik, sekali gus membolehkan masyarakat berasa selamat dan stabil dalam mendapatkan sumber makanan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Transformasi Teknologi Perladangan Organik 2.0 di Dewan SJK (C) Chung Hwa, di sini, pada Sabtu.
Jamawi berkata, kursus berkenaan bukan sahaja disertai peserta dari Tenom, malah turut menarik penyertaan dari Keningau, Nabawan, Kudat dan kawasan lain bagi mempelajari topik berkaitan penanaman organik yang disusun sepanjang kursus.
“Ini merupakan satu langkah daripada Jabatan Pertanian untuk memperkasakan tanaman organik. Kita juga sedang menyusun atur beberapa ladang di Tenom untuk kita dapat laksanakan tanaman organik supaya ada sumber untuk masyarakat mendapatkan hasil-hasil pertanian daripada ladang tersebut,” katanya.
Jamawi berkata, pensijilan myGAP juga merangkumi aspek kesihatan, termasuk mengurangkan penggunaan racun dan baja kimia.
Beliau berkata, enam lagi ladang menerima pensijilan myGAP, yang menunjukkan pengusaha berkenaan telah mematuhi standard bagi memastikan hasil produk pertanian selamat untuk dimakan.
“Kalau kita dapat lagi myOrganic, ia sebagai bonus untuk ladang tersebut memasarkan hasil. Tetapi ia mempunyai pelbagai SOP yang diperlukan untuk mendapatkan pensijilan myOrganic.
“Sebab itu kita adakan kursus ini, sekurang-kurangnya pengusaha dan mereka yang terlibat lebih tahu dan memahami bagaimana kita dapat melaksanakan myOrganic ini sebaik-baiknya untuk negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru pengguna supaya memahami dan mengiktiraf hasil pertanian yang disahkan organik, termasuk bersedia membayar harga sedikit lebih tinggi berbanding produk biasa.
Katanya, harga produk organik yang lebih tinggi disebabkan proses pensijilan serta pelbagai faktor yang memerlukan pengusaha mengeluarkan modal tambahan.
“Kalau kita mementingkan kesihatan, apalagi kita membelanjakan sedikit lebih tinggi berbanding produk lain untuk mendapatkan produk daripada ladang-ladang yang disijilkan sebagai myOrganic,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata, sebanyak 25 ekor lembu akan diagihkan kepada kumpulan B40 di kawasan Melalap, khususnya di Kampung Lagud.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut diminta menaik taraf dan memulihkan padang ragut di Tenom serta kawasan lain di seluruh Sabah.
“Kita telah memulakan awal tahun ini dan dua tempat yang kita pilih untuk pelaksanaan tahun ini ialah padang ragut Kampung Lagud dan padang ragut Kampung Pamilaan.
“Hari ini kita akan agihkan 25 ekor di kawasan padang ragut Kampung Lagud dan pada bulan September nanti kita akan agihkan 45 ekor di padang ragut Kampung Pamilaan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua padang ragut berkenaan telah dipulihkan, termasuk dipasang pagar dan ditanam rumput.
Katanya, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmennya sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan untuk memperkasakan semula padang ragut yang terdapat di Sabah, selain membantu rakyat yang memerlukan mendapatkan induk lembu berkualiti.
Jamawi turut menasihatkan penerima supaya tidak menjual induk lembu yang diberikan terlalu awal, sebaliknya membiakkannya bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka pada masa akan datang.
“Jangan dijual. Ada rakan-rakan yang dahulu dapat induk lembu, dua atau tiga bulan kemudian dijual. Biarlah ia sempat membiak.
“Induk-induk kita ini berkualiti. Ia boleh menghasilkan lebih kurang tujuh generasi yang akan mendapat lebih kurang sama seperti induknya,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya pembiakan itu diteruskan, jumlah ternakan boleh meningkat kepada 10, 20 atau 30 ekor pada masa akan datang sebelum dijual bagi membolehkan penerima mengembangkan sumber pendapatan mereka.
“Jangan jual mana yang kita bagi. Pelihara betul-betul dan mudah-mudahan ia akan dapat memberikan sumber pendapatan pada masa-masa akan datang.
“Kita akan terus membantu. Kalau ada masalah pagar, beritahu. Kalau ada masalah rumput, beritahu. Kalau ada masalah induk pun beritahu. Kita akan bantu sehabis yang baik,” katanya.






