Koperasi Perlu Pelbagaikan Perniagaan, Kekal Berdaya Saing dan Jana Ekonomi Rakyat –...

Koperasi Perlu Pelbagaikan Perniagaan, Kekal Berdaya Saing dan Jana Ekonomi Rakyat – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Koperasi di Sabah perlu berani mempelbagaikan bidang perniagaan dan menyesuaikan strategi dengan perkembangan semasa bagi kekal berdaya saing, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pengurusan yang baik dan tadbir urus kukuh juga penting bagi memastikan koperasi mampu berkembang serta memberi manfaat kepada anggotanya.

Keupayaan untuk mempelbagaikan kegiatan perniagaan dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa wajar dijadikan contoh oleh koperasi lain di Sabah, khususnya dalam usaha mengenal pasti bidang yang mempunyai potensi pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Koperasi Green Sabah Berhad yang diketuai Pengerusinya, Datuk Mohd Salleh Abbas bersama rombongan di pejabatnya, di sini, hari ini.

Masidi berkata, gerakan koperasi memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat menerusi aktiviti perniagaan yang mampu menjana pendapatan dan meningkatkan taraf sosioekonomi anggota.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkasakan gerakan koperasi sebagai antara pemangkin pembangunan ekonomi Sabah.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyokong dan memperkasakan gerakan koperasi sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi negeri, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi memuji Koperasi Green Sabah Berhad yang mempunyai pengalaman lebih enam dekad sejak ditubuhkan pada 1959 dan berjaya terus berkembang dengan menyesuaikan pendekatan perniagaannya mengikut perubahan landskap ekonomi.

Dalam kunjungan berkenaan, beliau turut diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa, aktiviti perniagaan serta perancangan koperasi berkenaan.

Masidi berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri dan gerakan koperasi dapat terus diperkukuh bagi menyokong pembangunan ekonomi serta memperluas peluang menjana pendapatan kepada masyarakat di Sabah.