Perkhidmatan ‘Bas Pink’ Dapat Sambutan, Lebih 194,000 Penumpang Direkodkan

Perkhidmatan ‘Bas Pink’ Dapat Sambutan, Lebih 194,000 Penumpang Direkodkan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perkhidmatan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti Sabah (SBST) atau BAS.MY yang lebih dikenali sebagai “Bas Pink” mencatat perkembangan positif dengan 194,265 penumpang direkodkan setakat 10 Ogos lalu, sekali gus menunjukkan sambutan baik masyarakat terhadap pengangkutan awam berkenaan.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP Sabah), Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata, perkembangan itu amat menggalakkan susulan perkhidmatan berkenaan yang kini beroperasi sepenuhnya melibatkan lapan laluan dengan 48 buah bas sejak 11 Ogos lalu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk sekitar Kota Kinabalu atas sambutan baik terhadap perkhidmatan Bas Pink ini.

Keutamaan LPKP adalah memastikan perkhidmatan ini dapat membantu penduduk sekitar Kota Kinabalu, khususnya anak-anak muda, meringankan beban kos sara hidup dengan menikmati tambang bas yang rendah serta perkhidmatan yang boleh dipercayai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga LPKP Sabah Bilangan Ke-6 Tahun 2026, di sini, pada Rabu.

Phoong ketika mempengerusikan mesyuarat pada Rabu…

Phoong berkata, LPKP Sabah komited untuk terus memperkasakan SBST bagi memastikan perkhidmatan bas moden itu kekal mampan dan memenuhi keperluan pengguna.

Menurutnya, LPKP juga akan terus mengoptimumkan perkhidmatan berkenaan termasuk mengambil kira permintaan orang ramai untuk penjajaran semula laluan.

Antara kawasan yang akan diberi pertimbangan ialah Tanjung Aru, Klinik Luyang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas serta Kepayan Ridge, selain beberapa kawasan strategik lain.

Phoong turut menyeru orang ramai memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan Bas Pink bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih sistematik dan mesra pengguna.

Dalam perkembangan lain, mesyuarat turut bersetuju memudahkan permohonan Lesen Pembawa A dengan membenarkan permohonan lesen penggerak utama atau semi trailer dibuat secara berasingan bagi memberi lebih fleksibiliti kepada pengusaha dan merancakkan sektor logistik negeri.

LPKP Sabah turut meluluskan inisiatif pemerkasaan perkhidmatan bas sekolah yang membolehkan pengusaha beroperasi ke luar daerah tanpa perlu memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS), berkuat kuasa apabila pekeliling berkaitan dikeluarkan kelak.

Mesyuarat sama turut mengalu-alukan pelantikan dua anggota lembaga baharu, Datuk Thomas Logijin dan Dr. Tan Fee Cheng.