KOTA KINABALU: Kejayaan Borenos Fried Chicken mengembangkan perniagaannya sehingga ke Semenanjung membuktikan produk “original Sabahan” mempunyai kualiti dan mampu bersaing serta mendapat tempat di pasaran luar Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkembangan jenama tempatan itu wajar menjadi suntikan semangat kepada pengusaha Sabah supaya tidak gentar bersaing dengan syarikat dari luar negeri.
“Ini yang kita banggakan kerana restoran berkenaan adalah ‘original Sabahan’. Mereka telah membuka cawangan di Semenanjung dan nampaknya di sana juga mendapat sambutan yang baik.
“Ini sekali gus membuktikan bahawa produk keluaran Sabah mempunyai kualiti yang baik serta mampu mendapat tempat di pasaran luar Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Borenos Fried Chicken di IMAGO Shopping Mall, di sini, pada Khamis.
Masidi berkata, kekuatan sesuatu produk bukan hanya bergantung kepada nama atau jenama, sebaliknya kualiti turut menjadi faktor utama dalam menentukan pilihan pengguna.
“Bagi saya, apabila kita bercakap mengenai jenama besar, persoalannya ialah sama ada kita memilih sesuatu produk berdasarkan jenamanya atau kualiti yang ditawarkan. Oleh itu, saya memilih berdasarkan kualiti produknya,” katanya.
Menurutnya, pembukaan restoran baharu berkenaan turut menunjukkan pengusaha tempatan berupaya menghasilkan produk berkualiti yang mampu berdiri setanding dengan jenama makanan segera terkenal.
Sehubungan itu, Masidi berharap kejayaan Borenos menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk menceburi bidang perniagaan, membangunkan jenama tempatan bertaraf antarabangsa serta berani membawa produk keluaran Sabah ke pasaran yang lebih luas.






