Dua Ditahan, Menyamar Pegawai Penguat Kuasa dan Cuba Peras RM1,500 di Penampang

Dua Ditahan, Menyamar Pegawai Penguat Kuasa dan Cuba Peras RM1,500 di Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Dua lelaki tempatan berusia 19 dan 28 tahun ditahan selepas disyaki menyamar sebagai pegawai sebuah agensi penguat kuasa sebelum cuba memeras wang RM1,500 daripada seorang lelaki warga asing di Kampung Koidupan Sugud, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.10 tengah malam apabila kedua-dua suspek yang memakai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa menghampiri mangsa.

Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri sebelum mendakwa lelaki berkenaan melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport.

Kedua-dua suspek dipercayai meminta bayaran sebanyak RM1,500 daripada mangsa bagi menyelesaikan kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sammy berkata, kegiatan kedua-dua lelaki itu bagaimanapun terbongkar selepas mereka diminta menunjukkan kad kuasa.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Polis turut merampas beberapa helai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa berkaitan yang dipakai oleh suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Sementara itu, Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.

“Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis,” katanya.