KM HAJIJI YAKIN PROJEK PEMBANGUNAN KKDW UNTUK SABAH DILAKSANAKAN LEBIH TERATUR, CEPAT

KM HAJIJI YAKIN PROJEK PEMBANGUNAN KKDW UNTUK SABAH DILAKSANAKAN LEBIH TERATUR, CEPAT

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam sesi Mesyuarat Penyelarasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Bersama Kerajaan Negeri Tahun 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC) ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin program dan projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk Sabah akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat.

Katanya, Sabah merupakan antara negeri terbesar di Malaysia sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan Persekutuan dalam membangunkan kemudahan infrastruktur asas dan utiliti seperti bekalan air, eletrik, jalan luar bandar, liputan komunikasi dan lain-lain.

“Kemudahan infrastruktur asas dan utiliti tersebut amat diperlukan oleh Sabah memandangkan negeri ini agak ketinggalan dalam aspek berkenaan khususnya di kawasan luar bandar.

“Inisiatif turun padang oleh pihak KKDW yang diketuai sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan program dan projek KKDW untuk Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Sabah Tahun 2023 dipengerusikannya bersama Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),
semalam.

Turut hadir, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam
(Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri) dan Datuk Shahelmey Yahya (Menteri Kerja Raya Negeri), Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Hajiji yang mengalu-alukan Mesyuarat Penyelarasan itu yang julung-julung kali diadakan berkata, ia dapat memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dengan kementerian dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program pembangunan KKDW di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik syor daripada Perdana Menteri dan kerajaan Pusat, bahawa projek Persekutuan yang bernilai RM50 juta ke bawah, kerajaan negeri bertanggungjawab melaksanakannya dengan menggunakan kepakaran tempatan serta dipantau oleh kementerian yang berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memberikan kerjasama khususnya KKDW dalam hal berkaitan pembangunan agar projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dapat dipercepatkan pelaksanaannya.