KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya Kerajaan Sabah memperkenalkan biasiswa atau bantuan pengajian kepada pemimpin gereja yang mengikuti pengajian teologi sebagai antara bentuk sokongan kerajaan terhadap pembangunan institusi keagamaan di negeri ini.
Cadangan itu dikemukakan Ewon dalam pertemuan anggota Kabinet Kerajaan Sabah yang beragama Kristian bersama pimpinan Majlis Gereja-Gereja Sabah (Sabah Council of Churches – SCC), di sini, pada Jumaat.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, cadangan berkenaan diharap dapat dipertimbangkan kerajaan sebagai sebahagian usaha menyokong pembangunan kepimpinan gereja.
“Saya turut mencadangkan supaya pemberian biasiswa atau bantuan pengajian kepada pemimpin gereja yang mengikuti pengajian teologi diperkenalkan sebagai salah satu bentuk sokongan kerajaan,” katanya.
Selain cadangan berkenaan, pertemuan itu turut membincangkan penambahbaikan mekanisme pelaksanaan peruntukan pembangunan rumah-rumah ibadat bukan Islam, khususnya menjelang penyediaan Belanjawan Sabah 2027.
“Pertemuan ini antara lain membincangkan penambahbaikan mekanisme pelaksanaan peruntukan pembangunan rumah-rumah ibadat bukan Islam, terutama dalam Belanjawan 2027 kelak,” katanya.
Pertemuan berkenaan melibatkan anggota Kabinet Kerajaan Sabah yang beragama Kristian termasuk Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki; serta Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone Kurum.
Perbincangan dipengerusikan Joachim dan dihadiri wakil pelbagai gereja serta denominasi Kristian di Sabah termasuk Anglican Diocese of Sabah, Basel Christian Church of Malaysia, Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah, Calvary Charismatic Centre, Grace Chapel, Sabah Evangelical Mission, Christian Revival Church, The Methodist Church, Sabah Baptist Association, Protestant Church of Sabah, Assembly of God dan Roman Catholic Archdiocese of Kota Kinabalu.
Turut hadir Setiausaha MINDET, Datuk Thomas Logijin; Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong; Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong dan Presiden SCC, Bishop Wong Pui Kong.
Dalam pertemuan itu, anggota Kabinet yang hadir turut berkongsi pelbagai inisiatif semasa yang sedang dilaksanakan Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ewon menyifatkan pertemuan pertama seumpama itu sebagai perkembangan positif dalam menyediakan platform perbincangan antara pimpinan kerajaan dan institusi gereja di Sabah.
“Saya gembira kerana pertemuan yang pertama kali seumpama ini mendapat sokongan daripada kepimpinan SCC dan saya berharap ini dapat diteruskan sebagai platform perbincangan antara pimpinan kerajaan dan gereja,” katanya.
Menurutnya, pertemuan seterusnya akan dihoskan Rubin Balang.
Ewon berkata, hubungan serta kerjasama erat antara kerajaan dan institusi keagamaan penting dalam memelihara keharmonian masyarakat Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian agama, kaum, bahasa dan adat.
“Semoga pertemuan seperti ini dapat memberi berkat kepada Sabah sebagai sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian agama, kaum, bahasa dan adat,” katanya.
Sementara itu, Presiden SCC, Bishop Wong Pui Kong menyambut baik cadangan Ewon berhubung pemberian biasiswa atau bantuan pengajian teologi kepada pemimpin gereja.
“Kami menyambut baik cadangan Datuk Ewon dan berharap ia dapat dipertimbangkan,” katanya.
Wong turut merakamkan penghargaan terhadap usaha Kerajaan Sabah dalam memelihara keharmonian serta kebebasan beragama di negeri ini.
“Suasana aman damai, saling hormat-menghormati dan saling memahami adalah anugerah yang sangat berharga bagi Sabah. Kami juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah kerana sentiasa menghormati dan memelihara kebebasan beragama,” katanya.
Beliau berkata, SCC dan gereja-gereja di Sabah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha membina masyarakat yang aman, harmoni dan saling menghormati.
“Kami percaya kerajaan dan gereja mempunyai peranan masing-masing dalam membawa kebaikan kepada masyarakat serta membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.






