KOTA KINABALU: “Lawan tetap lawan, radu tetap radu. Lawan dulu baru tahu,” itu tekad atlet para olahraga Sabah, Freddy Waldie, 33 tahun yang tidak gentar berdepan cabaran lebih sukar apabila terpaksa bersaing dengan atlet kategori lebih kuat pada temasya Para SUKMA XXI Selangor 2026.
Atlet berasal dari Kiulu, Tamparuli itu sepatutnya bertanding dalam klasifikasi F54, namun ketiadaan pertandingan bagi kategori berkenaan menyebabkan dia perlu digabungkan bersama F55.
Bagi Freddy, situasi itu bukan alasan untuk mengibarkan bendera putih, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk sekali lagi memburu pingat buat Sabah.
“F55 kategori yang lebih kuat daripada saya. Saya F54, jadi saya kena lawan kategori yang lebih kuat, F55.
“Tapi tidak apa, lawan tetap lawan, radu tetap radu. Lawan dulu baru tahu,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Selangor bersama Kontinjen Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.
Freddy yang akan beraksi dalam tiga acara iaitu lempar cakera, merejam lembing dan lontar peluru mula menyertai Para SUKMA pada 2022, namun belum berjaya meraih sebarang pingat pada penampilan pertamanya.
Dia kemudian bangkit pada edisi berikutnya apabila berjaya menghadiahkan dua pingat perak dan satu gangsa kepada Sabah.
Kali ini, biarpun berdepan lawan daripada klasifikasi lebih tinggi, Freddy enggan menjanjikan warna pingat tertentu tetapi bertekad memastikan perjuangannya berakhir dengan sekurang-kurangnya satu pingat.
“Saya tidak boleh janji apa pingat saya dapat, tapi saya akan cuba. Yang penting ada pingat,” katanya.
Malah, semangat sama turut dilaungkan Freddy kepada 153 atlet lain yang membawa cabaran Sabah di Selangor.
“Radulah! Selagi boleh. Lawan tetap lawan. Jangan menyerah kalah selagi belum melawan,” katanya.
Kontinjen Sabah yang terdiri daripada 154 atlet bagi 10 jenis sukan berlepas ke Selangor hari ini menerusi dua penerbangan masing-masing pada jam 11.30 pagi dan 12.40 tengah hari.
Para SUKMA XXI Selangor 2026 berlangsung dari 5 hingga 10 September, dengan kontinjen negeri membawa misi besar memburu 66 pingat emas.
Sabah mengambil bahagian dalam boccia, para badminton, para memanah, para olahraga, para ping pong, para powerlifting, para renang, para catur, para boling padang dan para tenpin boling.






