KOTA KINABALU: Sebanyak 34 tawaran kompaun dikeluarkan susulan kesalahan yang dikesan dalam pemeriksaan terhadap premis hotel di seluruh Sabah, termasuk berkaitan tindakan sengaja menyahaktifkan atau mematikan fungsi sistem penggera kebakaran tanpa alasan teknikal yang sah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, PKPjB Mohd Pisar Aziz berkata, tindakan itu hasil Task Force Ops Trigger 2026 yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri dengan 76 premis hotel diperiksa.
Katanya, sebanyak 34 tawaran kompaun dikeluarkan atas kesalahan yang dikesan dengan jumlah keseluruhan RM4,600.
“Keselamatan penghuni dan tetamu premis adalah keutamaan. Sistem penggera kebakaran merupakan salah satu komponen penting dalam memberikan amaran awal sekiranya berlaku kecemasan dan tidak seharusnya dinyahaktifkan tanpa alasan teknikal yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan operasi itu bukan semata-mata bertujuan mengeluarkan kompaun, tetapi bagi memastikan pengurusan premis hotel mengambil serius aspek keselamatan kebakaran serta memastikan sistem penggera kebakaran sentiasa berada dalam keadaan berfungsi.
Operasi yang berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 3 petang itu melibatkan pemeriksaan terhadap premis hotel di kawasan jagaan Zon dan Balai JBPM di seluruh Sabah.
Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 55, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Tindakan menyahaktifkan atau mematikan sistem penggera kebakaran secara sengaja boleh menjejaskan fungsi sistem berkenaan dalam memberikan amaran awal sekiranya berlaku kebakaran, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan penghuni dan pelanggan.
Mohd Pisar berkata, JBPM Sabah memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan persekitaran selamat akibat kegagalan fungsi sistem keselamatan kebakaran kerana ia berpotensi memberi risiko kepada nyawa penghuni, khususnya di premis penginapan yang mempunyai kapasiti penghuni tinggi atau sleeping risk.
JBPM Sabah akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan tahap pematuhan keselamatan kebakaran di premis berisiko, khususnya sektor perhotelan, sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan.
Pelaksanaan Task Force Ops Trigger 2026 turut menjadi sebahagian usaha berterusan JBPM Sabah untuk memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan kesedaran dan pematuhan pihak pengurusan premis terhadap keperluan keselamatan kebakaran.






