KOTA KINABALU: Kerjasama antara University College Sabah Foundation (UCSF), milik Yayasan Sabah, dengan sebuah universiti di Poland kini dalam perancangan.
Duta Poland ke Malaysia, Krzysztof Dariusz Dobrowolski berkata, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ke arah kerjasama itu sedang dalam proses penyediaan.
Dobrowolski berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan potensi kerjasama ekonomi dua hala di Menara Kinabalu, pada Jumaat.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.
Ia merupakan kunjungan kelima Dobrowolski ke Kota Kinabalu, dengan kunjungan terakhir pada April lalu apabila beliau melawat kampus UCSF.






