SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan bahawa para atlet kontinjen Para SUKMA Sabah yang berjaya menyumbang pingat pada Temasya Para SUKMA 2026 di Selangor bakal menerima insentif khas sebagai penghargaan atas komitmen dan pencapaian cemerlang mereka.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemberian insentif bagi pingat emas, perak dan gangsa itu merupakan komitmen kerajaan negeri menerusi kementeriannya bagi mengiktiraf usaha keras seluruh kontinjen.
”Kita memang telah komited kepada atlet-atlet Para SUKMA yang mendapat pingat emas, perak dan gangsa untuk menerima insentif daripada Kerajaan Negeri Sabah melalui kementerian saya.
”Terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang banyak memberikan sokongan.
“Insya-Allah, insentif ini akan disampaikan kepada atlet-atlet yang telah melakar kejayaan,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Penutupan Para SUKMA 2026 di Shah Alam, malam tadi.
Beliau meluahkan rasa gembira dan bangga atas pencapaian luar biasa kontinjen Sabah yang bukan sahaja melampaui sasaran awal 66 pingat emas, malah mengumpul keseluruhan 69 pingat emas.
Pencapaian itu sekali gus mendedahkan peningkatan prestasi berterusan berbanding 54 pingat emas pada edisi 2022 di Kuala Lumpur dan 62 pingat emas pada edisi 2024 di Kuching, Sarawak.
Menurut beliau, acara seperti para olahraga, para renang dan tenpin boling menjadi penyumbang terbesar kepada kutipan emas negeri kali ini, di samping kejayaan atlet memperbaharui 18 rekod baharu kejohanan.
Dalam pada itu, Nizam turut menyeru ibu bapa yang mempunyai anak-anak orang kurang upaya (OKU) agar tidak berputus asa, sebaliknya memberikan dorongan untuk mereka berkecimpung dalam bidang sukan.
”Anak-anak ini dilahirkan dengan bakat tersendiri. Sukan seperti Para SUKMA ini adalah medan terbaik untuk membina keyakinan diri mereka bahawa walaupun ada kekurangan, mereka mampu menyumbang kejayaan buat negeri dan negara,” katanya.
Temasya Para SUKMA Selangor 2026 menyaksikan penyertaan seramai 1,352 atlet dari seluruh negara yang bertanding dalam 10 jenis acara sukan.
Pada majlis berkenaan, bendera kejohanan turut diserahkan secara rasmi kepada negeri Kelantan yang bakal menjadi tuan rumah bagi temasya SUKMA dan Para SUKMA edisi ke-23 pada tahun 2028.






