KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas tersepit dalam sebuah Toyota Hilux selepas kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dan sebuah motosikal di flyover menghala ke Luyang, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.33 pagi sebelum enam anggota dikerahkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan tujuh kenderaan serta sebuah motosikal.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa lelaki yang tersepit di dalam sebuah Toyota Hilux menggunakan peralatan khas penyelamatan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan pada jam 7.55 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.






