MINDET Pantau Usaha Operator Pelabuhan Sandakan, Kecekapan Operasi Perlu Ditingkatkan – Ewon

MINDET Pantau Usaha Operator Pelabuhan Sandakan, Kecekapan Operasi Perlu Ditingkatkan – Ewon

0
SHARE

SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan terus memantau usaha operator Pelabuhan Sandakan, Suria Capital Holdings, bagi memastikan kecekapan operasi pelabuhan itu dipertingkatkan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata peningkatan kecekapan operasi Pelabuhan Sandakan penting bagi menyokong perkembangan sektor perindustrian, logistik dan perdagangan di pantai timur Sabah.

Beliau berkata, Suria Capital Holdings selaku konsesi dan operator pelabuhan telah diminta oleh Kabinet untuk melabur dalam kelengkapan, jentera dan kren baharu bagi meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan-pelabuhan di bawah kendaliannya, termasuk di Sandakan.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya akan terus memantau perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis makan malam sempena sambutan Pesta Tanglung Sandakan anjuran UPKO Libaran, di sini, semalam.

Menurut Ewon, Pelabuhan Sandakan merupakan antara pelabuhan utama dan terbesar di Sabah selepas Pelabuhan Sepanggar dan Pelabuhan Tawau.

Katanya, usaha meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan perlu dilaksanakan lebih awal sebagai persediaan untuk menyokong perkembangan Taman Perindustrian Sawit Kinabalu serta kemasukan bekalan gas dari perairan Sandakan yang disasarkan bermula pada 2029.

Saya melihat pembangunan Taman Perindustrian Sawit Kinabalu, susulan kerjasama Kerajaan Sabah dengan PETRONAS untuk meneroka gas di Kluster Mutiara, akan menjadi satu jaminan bekalan tenaga kepada sektor perindustrian di Sandakan.

“Sebab itu, kita perlu membuat persediaan awal dan menyediakan pelabuhan ke arah perkembangan itu. Kita tidak boleh menunggu sehingga tahun 2029 untuk meningkatkan kecekapan Pelabuhan Sandakan,” katanya.

Ewon berkata, bekalan gas berkenaan dijangka digunakan untuk menggantikan sebahagian penjanaan elektrik yang kini menggunakan diesel, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor perindustrian dan tenaga di Sandakan.

Katanya lagi, sejurus menerajui kementerian yang turut bertanggungjawab terhadap portfolio pelabuhan, beliau telah meninjau Pelabuhan Sandakan dan membentangkan dapatan berhubung keadaan pelabuhan itu kepada Kabinet Kerajaan Sabah.

Katanya, masalah berkaitan peralatan dan kren di Pelabuhan Sandakan telah dibangkitkan oleh pelbagai pemain industri, persatuan perkapalan, ejen perkapalan serta Dewan Perniagaan Cina Sandakan.

“Saya telah datang ke Sandakan pada awal tahun ini untuk meninjau sendiri keadaan pelabuhan dan melihat masalah yang telah dimaklumkan kepada saya.

“Di Tawau, kita telah memasang dua kren dermaga baharu. Bagi Pelabuhan Sandakan pula, terdapat keperluan yang sangat ketara untuk menambah baik kecekapan operasi melalui penyediaan kren dan peralatan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, masalah operasi pelabuhan boleh menyebabkan penghantaran barangan menjadi lebih lambat dan meningkatkan kos yang akhirnya ditanggung oleh pengguna.

“Sebahagian besar makanan dan minuman yang kita gunakan dihantar melalui kapal. Jika berlaku masalah di pelabuhan, sudah tentu penghantaran akan menjadi lebih lambat dan kosnya turut meningkat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata, kerja-kerja pengorekan pasir di laluan kapal menuju ke Pelabuhan Sandakan turut dijangka membantu memudahkan kapal-kapal besar berlabuh di pelabuhan berkenaan.

Katanya, memorandum persefahaman antara SEDCO Mining, selaku agensi yang bertanggungjawab terhadap aktiviti pengorekan pasir, dengan SOGDC telah dimeterai bagi tujuan tersebut.

“Saya telah menerima taklimat pada bulan lalu susulan memorandum persefahaman yang dimeterai itu. Kita yakin inisiatif ini membawa harapan baharu kepada sektor logistik dan perkapalan yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Ewon turut mengajak semua persatuan dan pemain industri untuk terus bersatu serta bekerjasama dengan MINDET dalam membina sinergi ke arah pembangunan Sabah yang lebih baik.